Pengenalan

Status swaakreditasi melayakkan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengakredit program pengajiannya sendiri kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan. Peruntukan undang-undang bagi Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) melaksanakan perkara-perkara yang berkaitan dengan swaakreditasi termaktub dalam Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679).


Bab 4 Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 mengandungi peruntukan-peruntukan bagi pemberi pendidikan tinggi swaakreditasi:

  • Seksyen 61 menggariskan peruntukan bagi permohonan status swaakreditasi atas undangan Y.B. Menteri dan bagi MQA melaksanakan audit institusi sebelum perakuan status swaakreditasi dikeluarkan.
  • Seksyen 62 menerangkan tentang permohonan IPT swaakreditasi untuk mendaftar program pengajian mereka yang telah diakredit dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR).
  • Seksyen 63 menggariskan perkara-perkara tentang sijil perakuan swaakreditasi serta sijil perakuan akreditasi program.
  • Seksyen 64 adalah mengenai pembatalan status swaakreditasi atau pembatalan pendaftaran program.

MQA telah menerbitkan Kod Amalan Audit Institusi (Code of Practice for Institutional Audit, COPIA) sebagai panduan untuk melaksanakan audit institusi secara am, termasuk audit institusi bagi tujuan penganugerahan status swaakreditasi.

  • Seksyen 2 COPIA menggariskan standard dan kriteria yang diguna pakai untuk menilai (audit) sesebuah institusi berdasarkan sembilan bidang penilaian bagi jaminan kualiti. Bagi tujuan penganugerahan status swaakreditasi, kriteria penting yang diberi penekanan khusus ialah sesebuah IPT perlu mempunyai sistem jaminan kualiti dalaman yang robust.


  • MQA telah memperkenalkan logo swaakreditasi rasmi yang akan diguna pakai oleh IPT bagi tujuan promosi, rujukan awam dan sebagainya.