Apakah maksud perakuan status swaakreditasi? Status Swaakreditasi merupakan satu perakuan yang dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) ke atas universiti yang terbukti mempunyai sistem jaminan kualiti dalaman yang kukuh dan mantap.
MQA memberi kepercayaan kepada Senat universiti berstatus Swaakreditasi untuk mengakredit sendiri program pengajian melalui berpandukan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta standard dan ketetapan yang ditetapkan oleh pihak MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi dari semasa ke semasa.
Apakah kepentingan pelaksanaan perakuan status swaakreditasi kepada sistem pendidikan tinggi negara? Pelaksanaan perakuan status swaakreditasi menyediakan satu tahap pengiktirafan lebih tinggi berasaskan prestasi sesebuah universiti yang telah berusaha memperkasa dan memperkukuh sistem kualiti dalaman mereka.
Ia menyediakan kerangka pengiktirafan yang dan diharapkan menyuntik daya saing dalam kalangan universiti tempatan untuk terus berusaha memperkasa kualiti mereka.
Apakah perbezaan antara perakuan status swaakreditasi dengan akreditasi program yang juga dilaksanakan oleh MQA? Perakuan Status Swakreditasi diberikan kepada sesebuah universiti manakala Perakuan Akreditasi Program (sama ada berstatus Sementara atau Penuh) diberikan kepada sesuatu program.
Bilakah pertama kali perakuan status swaakreditasi dianugerahkan kepada universiti tempatan? Perakuan status swaakreditasi pertama kali dianugerahkan pada bulan April 2010 kepada empat universiti awam dan empat kampus cawangan universiti luar negara iaitu:
Universiti Malaya (UM)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Monash University Malaysia (MUM)
The University of Nottingham Malaysia Campus (UNMC)
Swinburne University of Technology Sarawak Campus (SUTS)
Curtin University, Sarawak Malaysia (CUM)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dianugerahkan perakuan status yang sama pada bulan Mac 2013.
Bagaimanakah sesebuah universiti boleh memohon perakuan status swaakreditasi? Sesebuah universiti boleh memohon perakuan status swaakreditasi setelah mendapat undangan daripada YB Menteri Pendidikan Tinggi (YB Menteri) untuk berbuat sedemikian.
Bilakah undangan terkini yang dibuat oleh YB Menteri? Undangan terkini YB Menteri dibuat pada bulan Mac 2014 kepada Pemberi Pendidikan Tinggi yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
Bila dan bagaimanakah MQA menilai universiti terbabit? Universiti yang telah diundang oleh YB Menteri perlu mengemukakan permohonan berdasarkan format Laporan Penilaian Kendiri yang telah ditetapkan oleh MQA.
Audit institusi yang dijalankan melibatkan lawatan ke kampus induk, kampus cawangan dan pusat pembelajaran universiti terlibat dan seterusnya penyediaan laporan menyeluruh dan perakuan oleh auditor.
Apakah kriteria yang digunakan dalam Audit Institusi untuk menentukan tahap kualiti universiti terbabit? Audit institusi dilaksanakan berdasarkan ketetapan yang digariskan oleh Code of Practice for Institutional Audit, pematuhan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) dan standard-standard yang diterbitkan oleh MQA.
Siapakah yang terlibat dalam melaksanakan Audit Institusi? Audit Institusi yang dilaksanakan oleh MQA sepanjang 2015 dan 2016 telah dijayakan oleh 16 kumpulan juru audit. Mereka merupakan pakar akademik yang mempunyai pengalaman luas dalam sistem kualiti akademik universiti.
Siapakah yang menyemak dan mengesahkan syor perakuan status swaakreditasi? Keputusan swaakreditasi dibuat oleh Jawatankuasa Swaakreditasi yang dianggotai seramai sembilan ahli iaitu :
Ketua Pegawai Eksekutif MQA sebagai pengerusi
Seorang wakil Majlis MQA sebagai timbalan pengerusi
Dua orang wakil Mesyuarat Jawatan Kuasa Akreditasi MQA
Dua orang wakil Naib Canselor (awam dan swasta)
Seorang wakil Kementerian Pendidikan Tinggi
Seorang wakil Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti
Seorang pakar pendidikan tinggi
Apakah faedah dan keistimewaan yang dinikmati oleh universiti yang dianugerah perakuan status swaakreditasi?
Universiti terbabit boleh mengakredit program pengajiannya sendiri melalui Jawatankuasa Senat mereka tanpa melalui MQA.
Justeru universiti berstatus Swaakreditasi menikmati lebih ruang mengoptimumkan tumpuan dan sumber dalam memperkasakan kualiti program pengajian yang ditawarkan.
Malahan universiti berstatus Swaakreditasi diharapkan dapat melaksanakan akreditasi program mereka sendiri dengan lebih cepant walau tanpa penglibatan MQA.
Status swaakreditasi boleh di gunakan sebagai satu lambang kekuatan universiti dalam menarik minat pelajar dan pengajar.
Berapakah jumlah program pengajian 8 universiti berstatus Swaakreditasi yang akan beralih kepada sistem swaakreditasi?
Dijangkakan sebanyak 1,050 program akreditasi sementara dan akreditasi penuh yang dipantau secara langsung oleh MQA akan beralih kepada sistem Swaakreditasi universiti berkenaan. Begitu juga program pengajian yang akan ditawarkan oleh universiti pada masa akan datang.
Adakah terdapat program yang dikecualikan daripada proses Swaakreditasi universiti? Program yang tidak tertakluk kepada status swaakreditasi dan masih perlu melalui proses penilaian MQA adalah seperti berikut:
Program profesional
Program yang dijalankan secara kerjasama dengan universiti lain; dan
Program yang ditawarkan oleh anak syarikat universiti berstatus swaakreditasi.
Bolehkah program yang diakredit sendiri oleh universiti berstatus swaakreditasi mendaftarkan program terbabit dalam Daftar Kelayakan Malaysia?
Ya. Program pengajian yang diakredit sendiri oleh universiti berstatus swaakreditasi boleh didaftarkan ke dalam Daftar Kelayakan Malaysia untuk rujukan pihak umum, tertakluk kepada terma dan prosedur yang ditetapkan oleh MQA.
Berapa kerap perakuan status swaakreditasi akan dinilai semula oleh MQA.
Penilaian semula status swaakreditasi adalah dilaksanakan setiap lima tahun sekali. Kumpulan 8 lapan universiti pertama yang diberi perakuan pada tahun 2010 telah dinilai semula pada tahun 2015 dan 2016 serta berjaya mengekalkannya.
Bolehkah perakuan status swaakreditasi ditarik balik?
Ya. Perakuan Status Swaakreditasi boleh ditarik balik sekiranya didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan atau terbukti berlaku penurunan kualiti program pengajian yang ditawarkan.
Dimanakah maklumat berkaitan universiti berstatus swaakreditasi boleh dirujuk?
Senarai universiti berstatus swaakreditasi boleh dirujuk dalam laman sesawang MQA di portal rasmi MQA manakala carian program yang ditawarkan oleh universiti ini boleh dibuat di portal Daftar Kelayakan Malaysia di www2.mqa.gov.my/mqr