PENGENALAN

Kelayakan yang diiktiraf atau kelayakan yang diiktiraf setaraf adalah menjadi salah satu syarat utama untuk pelantikan dalam Perkhidmatan Awam sebagaimana yang dinyatakan dalam skim-skim perkhidmatan. Perkara 17 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 ada menyatakan :

“Jika ada keraguan dalam mana-mana skim perkhidmatan atau iklan kekosongan tentang maksud kelayakan yang diiktiraf setaraf dengan bidang yang dikehendaki dalam skim perkhidmatan, perkara itu hendaklah dirujuk kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk penentuan.”

Pengiktirafan kelayakan dari Institusi Pendidikan Tinggi dalam dan luar negara adalah melibatkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Pertama sahaja. Semakan kelayakan boleh dibuat melalui laman web Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf). Cetakan dari laman web tersebut boleh digunakan untuk tujuan permohonan dan pelantikan jawatan dalam Perkhidmatan Awam (oleh Pihak Berkuasa Melantik). Selain itu, ianya boleh digunakan bagi tujuan penajaan/pinjaman pengajian atau pendaftaran dengan agensi Kerajaan termasuk pendaftaran bidang dengan Kementerian Kewangan.

Image

Makluman

Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) bertarikh 14 Disember 2016 telah memutuskan supaya Jawatankuasa Tetap Penilaian dan Pengiktirafan Kelayakan (JTPPK) dibubarkan. Fungsi JTPPK mengenai urusan pengiktirafan kelayakan dilaksanakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) kecuali bagi maksud pelantikan dalam Sektor Perkhidmatan Awam yang akan diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diterima pakai oleh Pihak Berkuasa Melantik (PBM).

Kelayakan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia yang tersenarai dalam eSisraf adalah sehingga Disember 2016. Di bawah pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), program-program baharu yang mendapat pengiktirafan Kerajaan Malaysia tidak lagi dimuat naik dalam sistem ini.

Sebaliknya, mulai Januari 2017, semua program baharu boleh dirujuk melalui Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) menerusi http://www2.mqa.gov.my/mqr. Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersetuju semua program yang diakredit oleh MQA membawa maksud diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan akan disyorkan nilai taraf Perkhidmatan Awam berdasarkan keperluan yang ditetapkan dalam Skim-skim Perkhidmatan Awam. Pernyataan nilai taraf ini boleh digunakan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Pihak Berkuasa Melantik (PBM) bagi tujuan pelantikan dalam Perkhidmatan Awam. Pernyataan berhubung nilai taraf Perkhidmatan Awam ini boleh didapati dengan menyemak maklumat program yang berkaitan.

Bagi tujuan pengesahan kelayakan individu bagi program dalam dan luar negara tidak akan dilaksanakan oleh MQA. Maklumat mengenai sesuatu kelayakan boleh diperolehi dengan menyemak dan mencetak dari eSisraf atau MQR. Bersama-sama ini disertakan Surat Makluman Pengesahan Kelayakan Individu, klik di sini Surat Makluman Pengesahan Kelayakan Individu.

Top